Mungkinkah
ada yang sedang mengalami stress atau tekanan perasaan ketika ini? Stress atau
tekanan perasaan adalah merupakan salah satu penyakit moden yang banyak
membelenggu masyarakat pada hari ini. Dr.
Hans Selye, pengasas teori stress telah mendefinisikannya sebagai “suatu reaksi
yang tidak spesifik oleh diri seseorang disebabkan oleh sesuatu bebanan yang
menimpanya.”
Cuba
kita lihat dan renungkan apakah punca utama yang boleh menyebabkan kita
mengalami stress atau tekanan perasaan ini? Setiap manusia tidak terlepas
daripada menghadapi stress atau tekanan dalam kehidupan. Hal ini bertepatan
dengan maksud peribahasa, bumi mana yang tidak ditimpa hujan dan lautan mana
yang tidak bergelora. Bagaimanapun, stress yang dihadapi oleh seseorang itu
berbeza-beza tahapnya. Tekanan yang dihadapi oleh golongan dewasa mungkin
akibat memikirkan masalah keluarga, kewangan atau kerjaya, manakala bagi remaja
pula tekanan yang dihadapi mungkin berkaitan dengan pelajaran, hubungan dengan
rakan atau masalah yang berkaitan dengan keluarga. Bagi sesetengah orang,
mereka mungkin mengambil stress itu sebagai satu cabaran dan ujian hidup
sebelum memperoleh kejayaan dan kebahagiaan dalam kehidupan, manakala bagi
sesetengah orang yang lain pula, mereka menganggap stress itu sebagai satu
kesengsaraan dan penderitaan sehingga tekanan yang dihadapi itu membawa kepada
pengakhiran sebuah kehidupannya. Saya sendiri juga tidak terlepas daripada
menghadapi stress dalam kehidupan. Oleh hal yang demikian, sebelum nasi menjadi
bubur, sebelum sudah terhantuk baru nak tengadah beberapa langkah boleh saya
kongsikan bagi menangani masalah stress yang membelenggu ini.
Kehidupan kita yang terlalu sibuk
ini menyebabkan kita sering melupakan tentang kegiatan yang berfaedah untuk
kesihatan fizikal, mental dan psikologi kita. Kegiatan yang dimaksudkan di
sini ialah riadah, iaitu aktiviti yang sering dilakukan pada waktu lapang
terutamanya pada hujung minggu. Pelbagai aktiviti boleh dilakukan ketika riadah
ini. Antaranya ialah bermain futsal, badminton, berbasikal dan sebagainya.
Selain peluh mengalir keluar membasahi tubuh, kepenatan akan dapat dirasakan.
Selepas mandi dan membersihkan diri, kita akan berehat untuk melepaskan lelah.
Keadaan diri kita yang sedah keletihan akan lebih baik apabila kita dapat
melelapkan mata dan sekali gus membuatkan kita dapat tidur dengan lenanya. Oleh
itu, segala masalah yang membelenggu diri kita akan hilang sebentar. Stress pun
akan pergi dan akhirnya fikiran menjadi lapang. Justeru akan membuatkan kita
dapat menyelesaikan sesuatu masalah itu dengan tenang.
Kepada penggemar dan pencinta muzik
sama ada muzik tempatan mahupun muzik antarabangsa, muzik juga dapat
menghilangkan stress. Bagi pencinta muzik, muzik pencetus kegembiraan dan
keceriaan walaupun sesekali muzik mengundang kesedihan dan kedukaan. Apabila
muzik beralun, hati akan dibuai oleh alunan melodinya sehingga di luar
kesedaran diri seseorang itu seperti berada di alam lain. Hal ini akan
menyebabkan tanpa disedari kita mampu melupakan sebentar stress tersebut dengan
bantuan muzik. Hal ini bertepatan dengan kata-kata pujangga yang menukil bahawa
muzik tak mungkin dapat dipisahkan daripada jiwa setiap manusia. Tanpa muzik
juga kehidupan akan menjadi sepi. Oleh itu, muzik bukan sahaja dapat
menghiburkan hati, malah muzik seperti memiliki kuasa magis yang berupaya
mengurangkan tekanan yang dihadapi oleh seseorang, yang bertepatan dengan
maksud peribahasa sambil menyelam minum air. Pendek kata, muzik mampu menjadi
terapi untuk merawat stress.
Melancong juga merupakan langkah
yang bijak untuk mengatasi stress. Di dunia ini banyak tempat yang menarik
boleh dilawati. Di Malaysia juga pelbagai tempat pelancongan telah disediakan
oleh kerajaan. Setiap kali melancong, kita akan dapat merasakan keterujaan dan
kegembiraan yang membolehkan kita melupakan segala masalah yang membelenggu
fikiran. Secara tidak langsung, stress atau tekanan yang mengganggu fikiran
yang berpunca daripada masalah yang dihadapi dapat diatasi atau
setidak-tidaknya kita boleh melupakan sebentar masalah tersebut. Pendek kata,
keseluruhan aktiviti melancong dapat membantu kita untuk melupakan segala
tekanan yang dihadapi.
Bagi sebahagian yang tidak boleh
menyelesaikan masalahnya sendiri, haruslah mencari orang yang betul-betul boleh
dipercayai sama ada ahli keluarga terdekat, kawan-kawan ataupun pakar yang
memberikan khidmat kaunseling. Serampang dua mata ini akan membantu kita untuk
mengurangkan stress atau tekanan yang sedang dihadapi.
Langkah yang paling utama mengubati
stress ini ialah ibadat. Ibadat juga mampu dijadikan sebagai salah satu cara
untuk mengurangkan stress yang dihadapi. Sebagai khalifah di muka bumi ini,
kita tidak seharusnya melupakan kepada Maha Pencipta kita. Sesungguhnya, solat
memberikan ketenangan yang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata. Hal ini
kerana, solat yang khusyuk akan menjadikan kita melupakan semua tekanan yang
dihadapi, malah kita akan dapat merasakan betapa dekatnya diri kita dengan Yang
Maha Pencipta. Jiwa akan berasa tenang dan aman, hati juga menjadi bersih.
Tanamkanlah dalam diri kita bahawa hanya Tuhan yang dapat menolong kita.
Lantaran itu, ibadat harus dijadikan sebagai usaha yang terbaik untuk
menghindari dan mengurangkan tekanan yang dihadapi.
Oleh itu, walau apa pun yang
berlaku, mahu ataupun tidak, kita terpaksa menghadapi segala tekanan yang ada
demi kelangsungan hidup yang lebih bermakna. Tekanan merupakan masalah dan
tekanan jua lah merupakan sumber motivasi. Justeru, tanpa tekanan hidup umpama
pokok yang tidak berbunga. Tekanan jugalah yang membuatkan fikiran kita menjadi
lebih matang dan dewasa. Di sebalik ketabahan dalam menghadapi tekanan itu,
kita masih memerlukan insan lain untuk menghadapinya dengan lebih rasional.
Sesungguhnya, hanya dengan ketabahan dan keimanan yang kukuh dapat membantu
kita menghadapi semua tekanan dengan tenang.