by Nurul Athirah

KONSEP JIWA MENURUT ARISTOTLE

sumber: google image <https://www.google.com/search?q=aristotle&source=lnms&tbm=isch&sa=X&ved=0ahUKEwjE0ujzx4nYAhXENo8KHXHRDpMQ_AUICigB&biw=1366&bih=675#imgrc=VDC71qltdsIxSM:>

Pengenalan
Tamadun Yunani terus meningkat dengan kelahiran ahli-ahli falsafah seperti Herodotus, Socrates, Aristotle, Plato, Thucydides dan Zeno. Salah satu falsafah yang dibincangkan oleh ahli-ahli falsafah tersebut adalah pandangan mengenai jiwa. Perbincangan mengenai jiwa ini boleh dijumpai di dalam penulisan mereka mengenai psikologi dan metafizik. Dalam bahasa Yunani jiwa disebut sebagai psy·khe[1] dan dalam bahasa Latin, ungkapan jiwa diistilahkan dengan ungkapan anima[2] manakala dalam bahasa Arab, jiwa, disinonimkan dengan al-nafs[3]. Menurut Kamus Pelajar Edisi Kedua, jiwa bermaksud, roh yang ada dalam jasad badan manusia atau seluruh kehidupan, perasaan atau fikiran batin manusia. Jiwa adalah perkara yang tidak dapat dilihat oleh pancaindera dan tidak boleh dipertikaikan kewujudannya. Kamus ini menerangkan maksud jiwa hanya berkaitan manusia sahaja. Secara umumnya, jiwa boleh dikatakan perkara yang membezakan benda yang tidak hidup dengan benda hidup[4]. 
Tugasan ini akan membincangkan dengan lebih lanjut mengenai jiwa menurut ahli falsafah Yunani Klasik iaitu Aristotle. Pengkaji akan membahas dengan lebih terperinci mengenai teori jiwa menurut pandangan Aristotle.
  
Perspektif Jiwa Menurut Ahli Falsafah Sebelum Aristotle
Para ahli falsafah Yunani berusaha memahami dan membuktikan teori mengenai jiwa. Maka terdapatnya perbezaan pandangan serta pendapat tentang jiwa ini. Sebagai contoh, Aristotle, telah mengumpulkan beberapa pendapat para ahli falsafah Yunani terdahulu tentang jiwa dan menjelaskan perbezaan-perbezaannya pada makhluk hidup dengan makhluk yang tidak hidup. 
Socrates, salah seorang ahli falsafah sebelum Aristotle telah membahaskan tentang teori mengenai jiwa. Beliau mengatakan bahawa mengenali jiwa adalah pengetahuan yang pertama yang harus dimiliki atau dilakukan oleh manusia. Hal ini kerana, jiwa merupakan kewujudan rohani dan jika diabaikan akan menimbulkan kebodohan dan kerosakan pemikiran[5]. Socrates juga membuat kesimpulan bahawa jiwa bersifat kekal sedangkan tubuh atau jasad akan fana. Dalam mempertahankan pendapatnya, Socrates akhirnya bersedia untuk dihukum mati daripada mengakui kesalahan pendapatnya mengenai jiwa dan jasad apabila beliau mulai sedar akan perbezaan pendapatnya dengan pemahaman ‘penguasa gereja’ pada masa itu.
Manakala menurut Plato, salah seoarang ahli falsafah Yunani sebelum Aristotle, menyatakan bahawa jiwa dan jasad mempunyai hubungan yang kuat ibarat hubungan antara seorang nakhoda dengan kapal laut, dimana nakhoda berfungsi sebagai pengatur yang menyebabkan bergeraknya kapal itu dan menjaganya dari pukulan ombak dan angin[6]. Mengenai kekekalan jiwa, Plato meyakini bahawa ‘kehidupan dan gerak’ adalah dasar daripada sikap jiwa manusia, dimana ketika kehidupan bergerak ke dalam jasad manusia beerti jasad manusia itu hidup dan jiwa merupakan sumber daripada pergerakan jasad manusia. Sebaliknya, jika jiwa meninggalkan jasad, bermakna kefanaan dan perpisahan dengan jasad berlaku. 
Jiwa menurut Thales pula yang dikenali sebagai bapa falsafah menyatakan bahawa jiwa adalah kekuatan penggerak yang berjalan di seluruh bahagian jasad makhluk hidup. Beliau juga mangatakan bahawa jiwa adalah jasad yang sangat halus bersifat panas yang bergerak dan menggerakkan sebagaimana yang diungkapkan oleh Heraklitos bahawa jiwa selalu bergerak. Thales, yang terkenal dengan teori alam semesta, menegaskan bahawa jiwa bukan sahaja ada pada makhluk atau benda yang hidup tetapi juga jiwa ada pada benda-benda yang mati seperti besi magnet[7].

Descartes pula berpendapat bahawa jiwa terpisah dengan tubuh atau jiwa itu berbeza dengan tubuh. Beliau mempercayai kewujudan jiwa. Menurutnya, jasad adalah fizikal yang terdiri daripada partikel yang bergerak bebas dan memiliki kebebasan untuk bergerak. Sedangkan jiwa adalah kesedaran dan fikiran. Keberadaan jiwa tidak bergantung pada ruang dan waktu kerana jiwa bukanlah fizikal seperti jasad[8].
Secara umumnya, ahli falsafah Yunani memberikan sifat tentang jiwa dengan tiga sifat iaitu gerak, perasaan dan bukan jasmani. Oleh itu, perbincangan yang selanjutnya akan membincangkan teori jiwa menurut pandangan Aristotle dengan lebih lanjut lagi.

 Latar Belakang Aristotle
Aristotle atau nama sebenarnya Aristotle Nichomacus merupakan seorang ahli falsafah barat yang terkenal. Beliau dilahirkan pada tahun 384 S.M. di Stageira Macedonia Athens iaitu di suatu kota di Yunani. Beliau meninggal di Kalkis ada tahun 322 S.M. ketika usianya mencapai 63 tahun. Bapanya merupakan seorang doktor istana kepada raja Macedonia Amyntas II. Aristotle mendapat pendidikan daripada bapanya sendiri terutama tertumpu kepada ilmu-ilmu yang berkaitan dengan biologi. Salah satu pelajarannya ialah berkaitan dengan teknik bedah. Setekah bapanya meninggal dunia ketika usia Aristotle 18 tahun, Aristotle telah pergi ke Athens dan berguru dengan Pluto di Academy selama 20 tahun. Setelah Plato meninggal dunia, Aristotle bersama rakannya Zeno meninggalkan Athens dan pergi ke sebuah kota kecil iaitu Kota Atarneus. Pada usinya 41 tahun, beliau telah mendapat undangan dari Raja Macedonia Phillipus, meminta beliau untuk mendidik anaknya Alexander yang pada ketika itu berusia 13 tahun yang kemudiannya terkenal dengan nama Arab ‘Iskandar Zulkarnain’.
Didikan yang diperoleh Aristotle pada waktu kecilnya iaitu mempelajari teknik membedah dari bapanya, sebenarnya mempengaruhi pandangan falsafahnya. Aristotle tidak menggunakan akal semata-mata dalam menentukan kebenaran. Hal ini disebabkan didikan yang diterima daripada ayahnya sejak kecil lagi sentiasa berdepan dengan bukti dan kenyataan. Terdapat beberapa falsafah Aristotle. Antaranya ialah falsafah tentang alam. Aristotle berpendapat bahawa setiap kejadian yang berlaku di alam ini sama ada benda bergerak atau diam terdapat sesuatu yang menguasainya iaitu Tuhan. Selain itu, falsafah lain Aristotle ialah berfikir secara logik. Berfikir secara logik bermaksud terdapat kaitan di antara sebab dan akibat. Contohnya pada penyataan pertama  menyatakan semua manusia akan mati. Pernyataan kedua pula Socrates adalah seorang manusia. Maka kesimpulan antara kedua-dua pernyataan ini ialah Socrates akan mati. Oleh itu, dapatlah dilihat terdapat kaitan antara sebab dan akibatnya. Falsafahnya yang lain pula ialah falsafah metafizik. Falsafah ini bermaksud Aristotle berfikir dan mencari punca kejadian alam. 
Terdapat beberapa karya yang dihasilkan Aristotle. Aristotle menulis tentang astronomi, zoologi, biologi, geografi, geologi, psikologi, anatomi, dan hampir setiap karya beliau terkenal semasa di zaman Yunani.Hasil karya ilmiahnya, sebahagian merupakan daripada hasil ilmu pengetahuan beliau sendiri dan selebihnya merupakan hasil ilmu pengetahuan yang diperoleh daripada gurunya terdahulu atau ahli falsafah sebelumnya. 
  
Teori Jiwa Menurut Aristotle
Aristotle merupakan tokoh ketiga dari zaman keemasan falsafah Yunani dan memiliki pandangan tersendiri mengenai jiwa. Antara karya Aristotle yang menceritakan persoalan tentang jiwa menurut pandangan beliau ialah De Anima. Teori jiwa daripada Aristotle dikembangkan oleh beliau berdasarkan pemahaman jiwa yang diungkapkan oleh gurunya, iaitu Plato. Hal ini dapat dilihat daripada karya Aristotle, Eudemos, yang mengandungi perbualan Plato yang membicarakan mengenai persoalan jiwa. Namun, dalam karya seterusnya iaitu De Anima, Aristotle memberikan pandangannya yang tersendiri tentang persoalan tentang jiwa. Antara pembahagian jiwa menurut Aristotle ialah struktur dan bahagian-bahagian jiwa, hakikat jiwa manusia, hubungan jiwa dengan jasad, hubungan jiwa dengan kebahagiaan dan juga kematian jiwa.

Struktur dan Bahagian-bahagian Jiwa
            Dalam pandangan Aristotle mengenai fungsi jiwa, beliau menegaskan bahawa setiap makhluk yang hidup mempunyai jiwa. Yang membezakan antara manusia dengan haiwan dan tumbuhan ialah manusia mempunyai fikiran dan kesedaran yang berfungsi untuk berfikir secara logik dalam membuat keputusan yang betul dan tepat. Kemudian, Aristotle menggunakan  istilah ‘symposion’ atau gaya hidup manusia yang merangkumi cinta sebagai sumber dan menggerakkan jiwa manusia melalui fikiran untuk menghasilkan dan mencipta benda-benda atau perbuatan yang baik dan bermanfaat[9].
            Aristotle telah mengklasifikasikan jiwa terhadap makhluk hidup dalam tiga kategori iaitu pertama, jiwa tumbuhan yang hanya mempunyai tenaga kehidupan yang berkenaan dengan pertumbuhan dan pembiakan. Kedua, jiwa haiwan yang juga mempunyai tenaga pembiakan tetapi ditambah dengan tenaga hidup sensitif. Ketiga, jiwa manusia memiliki sifat yang sama seperti tumbuhan dan haiwan tetapi ditambah dengan akal fikiran[10].
Aristotle juga turut menjelaskan dengan terperinci persoalan mengenai jiwa manusia menjadi tiga bahagian. Bahagian yang pertama ialah rasional yang merupakan elemen tertinggi. Elemen rasional hanya terdapat dalam jiwa manusia yang berkaitan dengan perasaan. Bahagian ini bertanggungjawab untuk mengawal emosi dan keinginan seperti kegembiraan, kesedihan, harapan dan ketakutan. Kedua adalah bahagian irasional yang merupakan elemen pertengahan. Menurut beliau, ciri-ciri irasional bukan sahaja dimiliki oleh haiwan tetapi elemen ini turut terdapat dalam diri manusia. Ketiga ialah elemen pertumbuhan dan pembiakan yang ditugaskan mengatur gizi dan pertumbuhan.

Hakikat Jiwa Manusia
            Menurut Aristotle, antara ciri-ciri manusia ialah manusia adalah makhluk rasional. Kedua ialah manusia sebagai makhluk yang hidup bermasyarakat dan ketiga jiwa hanya berada dalam jasad[11]. Hujah pertama yang menyatakan manusia adalah makhluk rasional kerana manusia diberi akal fikiran untuk berfikir sama ada baik atau buruk setiap perbuatan jasad. Hal ini berkaitan dengan jiwa kerana jiwa yang membuatkan jasad itu hidup. Justeru, dapat disimpulkan bahawa jiwa mempengaruhi jasad manusia untuk bertidak secara rasional atau irasional. Hujah yang kedua menyatakan manusia sebagai makhluk yang hidup bermasyarakat. Menurut beliau, kehidupan yang baik harus dicari dan ini bertitik tolak daripada realiti kehidupan manusia itu sendiri.
Berpandukan pegangan jiwa daripada Plato, maka Aristotle telah mendefinisikan jiwa sebagai inti daripada makhluk yang hidup. Dalam karya falsafahnya, beliau berhujah bahawa jiwa bukan hanya dimiliki oleh manusia tetapi juga dimiliki oleh haiwan dan tumbuh-tumbuhan[12]. Tetapi daripada intipati terdapatnya perbezaan jiwa. Jiwa tumbuhan dan haiwan mempunyai pelbagai jenis jiwa yang berbeza daripada jiwa manusia. Aristotle menekankan bahawa jiwa hanya boleh wujud  di dalam jasad. Jiwa tidak boleh hidup secara berasingan selain daripada jasad. Justeru, beliau membantah hujahan bahawa kewujudan jiwa itu terpisah daripada jasad makhluk yang hidup[13]. Menurut beliau lagi, apabila jasad yang aktif bertindak, maka kewujudan jiwa terjadi di dalam jasad. Sebaliknya, apabila manusia tidur, maka kewujudan jiwa tidak berlaku.
             
Hubungan Jiwa dengan Jasad
            Dalam karya Aristotle iaitu De Anima, beliau telah berbicara dengan lebih lanjut mengenai hubungan jasad dengan jiwa. Menurut Aristotle, jiwa dengan jasad adalah berbeza tetapi dalam pada masa yang sama jiwa dan jasad itu serupa. Hal ini bermaksud, Aristotle memandang jasad dan jiwa dalam satu kesatuan. Jasad sebagai jasmani jiwa dan jiwa berada di dalam jasad tetapi yang hanya boleh nampak adalah jasad sahaja. Dalam teori ini, Aristotle menjelaskan bahawa sifat jiwa itu adalah sebagai penyebab kepada jasad untuk manusia meneruskan kehidupan. Tanpa jiwa jasad akan mati. Antara contoh yang boleh dibuat ialah mengenai marmar. Marmar merupakan batu kristal kasar yang berasal daripada batu kapur. Marmar diumpamakan sebagai barang. Maka untuk mendapatkan bentuk seperti meja marmar, kerusi marmar dan lain-lain, barang tersebut iaitu marmar dapat menjadi tunggak kepadanya[14]. Dalam erti kata lain, apabila perumpamaan itu digunakan untuk jiwa dan jasad, maka jasad adalah barang dan yang membentuknya adalah jiwa.

            Daripada sudut pandangan psikologi, Aristotles menyatakan bahawa :
                        “the soul is the final cause or source of the living body[15].”

Hal ini membawa maksud “jiwa adalah penyebab akhir atau sumber dari jasad yang hidup”. Berdasarkan ungkapan di atas, jiwa adalah bahagian penting daripada setiap tindakan jasad dan jiwa juga merupakan penyebab utama tindakan dan pergerakan jasad. Berkenaan dengan jiwa sebagai penyebab utama yang menghidupkan jasad, Aristotle mendedahkan dua perkara iaitu kemasukan jiwa dalam jasad dan juga pemisahan jiwa daripada jasad. Kemasukan jiwa dalam jasad menghasilkan jasad fizikal untuk hidup dan pemisahan jiwa daripada jasad bermakna jasad tersebut mati. Oleh itu, berdasarkan dua kenyataan Aristotle ini tentang hubungan jiwa dengan jasad ialah jiwa sebagai penyebab utama sesuatu jasad menjadi hidup dan jiwa jugalah menjadi sebab akhir sesuatu jasad mengalami kematian dan kemusnahan. Dengan erti kata lain, jasad adalah rupa jiwa dan minda seseorang.
           
Hubungan Jiwa dengan Kebahagiaan
            Tujuan tertinggi yang hendak dicapai oleh manusia dalam kehidupan ini adalah kebahagiaan. Kebahagiaan merupakan tujuan akhir kehidupan. Menurut Aristotle :

Kebahagiaan ini bukan kebahagiaan yang subjektif, abstrak atau ideal tetapi satu keadaan yang sedemikian rupa, sehingga segala sesuatu yang termasuk keadaan kebahagiaan (jiwa) itu terdapat pada manusia”[16].

Hal ini membawa maksud bahawa kebahagiaan harus dirasakan oleh jiwa manusia. Menurut beliau, kebahagiaan boleh ditemui dalam sepanjang kehidupan seharian manusia. Setiap kebahagiaan datangnya daripada perbuatan diri sendiri. Namun begitu, menurut Aristotle kebahagian yang tertinggi atau puncak kebahagiaan hanya akan dapat dicapai oleh para dewa atau ahli sufi[17].  Sebaliknya, manusia hanya dapat mengejar kebahagiaan di dunia yang nyata ini dan tidak perlu mengejar kebahagiaan yang kekal kerana jiwa akan mati.
            Aristotle menegaskan bahawa kebahagiaan manusia terdiri daripada satu aktiviti dan akan membawa kepada kesempurnaan hidup[18]. Justeru, kebahagiaan jiwa akan tercapai dengan cara memaksimumkan potensi diri untuk melihat kerohanian jiwa dan aktif dalam kehidupan. Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa tujuan akhir kehidupan menurut Aristotle ialah kebahagiaan jiwa. Kebahagiaan dalam sebuah kehidupan amat penting. Hal ini kerana, dengan kehidupan yang bahagia akan mewujudkan jiwa yang tenteram. Inilah yang dimaksudkan oleh Aristotle. Jika kita hidup mengikut kehendak orang lain nescaya hati dan jiwa akan memberontak mahukan kebebasan[19].

Kematian Jiwa
            Aristotle menjelaskan jiwa secara universal iaitu setiap benda yang hidup seperti manusia, binatang dan tumbuhan mempunyai jiwa. Jiwa makhluk hidup yang lain berbeza dengan jiwa manusia. Namun begitu, jiwa dan bagaimana bentuk jiwa tersebut tidak boleh dilihat. Menurut Aristotle, yang membezakan jiwa manusia dengan jiwa haiwan dan jiwa tumbuhan ialah, jiwa manusia memiliki unsur akal budi.
            Jiwa akan hancur atau musnah jika bentuk yang tepat hilang atau jiwa tersebut tidak dapat melakukan fungsinya dengan normal. Sedangkan jasad atau fizikal befungsi untuk memproduksi sesuatu atau berorientasi pada tujuan. Hal ini bermaksud, bentuk yang ditampilkan atau yang dihasilkan oleh jasad adalah tujuan akhir kehendak jiwa. Dalam erti kata lain, jasad akan bertindak balas disebabkan oleh jiwa dan akal budi untuk mewujudkan keinginan makhluk. Itulah yang dimaksudkan dengan jiwa manusia menurut Aristotle dan dengan dasar peranan akal budi inilah yang menyebabkan Aristotle memilih keabadian akal budi dan bukannya keabadian jiwa. Oleh itu, melalui teori jiwa ini, Aristotle berpendapat bahawa jiwa tidak akan wujud tanpa jasad. Maka, jika jasad mati, jiwa akan turut mati. Kenyataan Aristotle ini telah menolak tentang keabadian jiwa iaitu jiwa tidak kekal tanpa jasad.

Kesimpulan
Kesimpulannya, jiwa menurut Aristotle, secara umumnya mempunyai maksud yang lebih luas lagi. Menurut Aristotle, jiwa adalah unsur kehidupan (anima) . Semua makhluk yang hidup mempunyai jiwa. Selain manusia, tumbuhan dan haiwan juga mempunyai jiwa. Tumbuh-tumbuhan mempunyai jiwa, namun kehidupannya hanya sebatas tumbuh, bernafas dan tumbuh. Begitu juga haiwan. Haiwan juga memiliki jiwa, perbezaannya adalah haiwan tidak memiliki kemampuan seperti tumbuhan tetapi haiwan memiliki pancaindera. Walaupun ramai lagi ahli falsafah yang wujud setelah Aristotle, beliau tidak pernah dilupakan dan sentiasa dikenang segala usaha beliau dalam ilmu falsafah ini.


Rujukan

Ahmad Tafsir. (1992). Filsafat Umum Akal dan Hati Sejak Thales Sampai James. Bandung : PT
Remaja Rosdakarya.

Barnes, Jonathan. (1982). Aristotle. New York : Oxford University Press.

D.J Allan. (1970). The Philosophy of Aristotle 2nd Edition. New York : Oxford University Press.

K.Bertens. (1975). Sejarah Filsafat Yunani dari Thales ke Aristoteles. Yogyakarta : Penerbitan
Yayasan Kanisius.

Mohammad Hatta. (1982). Alam Fikiran Yunani. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Noor Shakirah Mat Akhir. (2008). Al-Ghazali and His Theory of The Soul. Pulau Pinang : Penerbit
USM.

Ross, Sir David. (1964). Aristotle. London : Metheun.

Aristotle. On the Soul. buku II, point 1; (Translated by J. A. Smith 2007, The University of
Adelaide Library, South Australia. https://pdfs.semanticscholar.org/8250/54802c63ef9bee47e917b795f431b14ee88b.pdf. Dicapai pada 4 November 2017, pukul 10 pm.





[1] D.J Allan. (1970). The Philosophy of Aristotle 2nd Edition. New York : Oxford University Press. Hlm 45.
[2] Ibid.
[3] Ibid.
[4] Noor Shakirah Mat Akhir. (2008). Al-Ghazali and His Theory of The Soul. Pulau Pinang : Penerbit USM. Hlm 111.
[5] Mohammad Hatta. (1982). Alam Fikiran Yunani. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm 50.
[6] Ibid.
[7] Ibid. Hlm 45.
[8] Mohammad Hatta. (1982). Alam Fikiran Yunani. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm 53.
[9] Mohammad Hatta. (1982). Alam Fikiran Yunani. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm 100.

[10] Mohammad Hatta. (1982). Alam Fikiran Yunani. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm 101.
[11] Aristotle. On the Soul. buku II, point 1; (Translated by J. A. Smith 2007, The University of
Adelaide Library, South Australia. https://pdfs.semanticscholar.org/8250/54802c63ef9bee47e917b795f431b14ee88b.pdf. Dicapai pada 4 November 2017, pukul 10 pm.
[12] K.Bertens. (1975). Sejarah Filsafat Yunani dari Thales ke Aristoteles. Yogyakarta : Penerbitan Yayasan Kanisius. Hlm 149.
[13] Ibid.
[14] Mohammad Hatta. (1982). Alam Fikiran Yunani. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm 100.
[15] Aristotle. On the Soul. buku II, point 1; (Translated by J. A. Smith 2007, The University of
Adelaide Library, South Australia. https://pdfs.semanticscholar.org/8250/54802c63ef9bee47e917b795f431b14ee88b.pdf. Dicapai pada 4 November 2017, pukul 10 pm.
[16] Aristoteles, On the Soul, buku II, point 1; (Translated by J. A. Smith 2007, The University of
Adelaide Library, South Australia. https://pdfs.semanticscholar.org/8250/54802c63ef9bee47e917b795f431b14ee88b.pdf. Dicapai pada 4 November 2017, pukul 11 pm.
[17] K.Bertens. (1975). Sejarah Filsafat Yunani dari Thales ke Aristoteles. Yogyakarta : Penerbitan Yayasan Kanisius. Hlm 161.
[18] Ibid.
[19] Ibid.
Copyright by nurulathirah's | Powered By Blogger

My Instagram