by Nurul Athirah

ANALISIS FILEM IBU MERTUAKU DARI SUDUT NARATIF

Hasil carian imej untuk naratif
https://www.pinterest.com/pin/469781804854428737/

Watak Kassim Selamat
Seorang ahli muzik. Bercinta dan berkahwin dengan Sabariah. Memegang watak protagonis.
Watak Sabariah
Anak tunggal kepada Nyonya Mansoor. Tunang Dr. Ismadi. Bercinta dan berkahwin dengan Kassim Selamat. Dan berkahwin pula dengan Ismadi. Memegang watak protagonis.
Watak Nyonya Mansoor
Watak Nyonya Mansoor, ibu Sabariah seorang janda tua yang kaya-raya dan urban seorang perokok yang memiliki sebuah rumah mewah di tepi laut. Lokasi rumah dan perwatakan Nyonya Mansoor itu sudahpun memberikan exposisi bahawa dia ialah seorang yang dominan dan superior kepada sekitarannya. Dalam erti kata lain dia bakal menjadi penghalang atau antagonis serta malapetaka bagi kedua-duanya.

Babak Kassim Selamat bertemu Sabariah
Babak-babak seterusnya 'menemukan' Kassim dan Sabariah. Panggilan telefon oleh Sabariah kepada Kassim yang mengatur blind-date di Capitol Blue Room pada pukul 10 malam menyerlahkan monotoni watak keduanya kerana saling tidak mempercayai sesama sendiri. Lantas mereka menghantar wakil masing-masing yang memakai pakaian seperti yang telah dijanjikan dalam perbualan di telefon sebagai penyamaran diri untuk mengintai dahulu fizikal masing-masing. Babak blind-date itu boleh diterimapakai untuk zaman dahulu kerana mungkin penyanyi sepopular Kassim Selamat tidak pernah keluar gambarnya di mana-mana media cetak atau elektronik? Kerana itulah Sabariah tidak mengenali wajah Kassim.
Plot-point 'tidak kenal wajah Kassim Selamat' itu memudahkan naratif seterusnya di Capitol Blue Room dipanjangkan untuk menghasilkan babak pertemuan watak Kassim dan Sabariah yang seronok untuk ditonton. Mereka duduk di meja bersebelahan dengan memakai baju yang lain dari seperti yang 'dijanjikan' di telefon sementara menunggu 'Kassim palsu' iaitu Husin dan 'Sabariah palsu' iaitu Salbiah sambil kedua-duanya saling mencuri pandang. Voice-over dalam hati masing-masing yang terpikat sesama sendiri diadun dengan baik untuk bercerita kepada penonton. Babak pembongkaran rahsia identiti masing-masing di taman bunga seterusnya masih dalam situasi komedi dengan muzik latar yang begitu sinonim dengan babak kelakar filem Melayu dahulu.

Babak Sabariah dan Dr. Ismadi
Naratif filem ini semakin menarik apabila watak Hayati dengan adiknya Dr. Ismadi iaitu tunang Sabariah datang melawat Nyonya Mansoor. Jelas sekali bahawa Ismadi dan Sabariah merupakan pasangan yang paling secocok dan setanding berdasarkan taraf kedudukan sosial mereka. Sejujurnya, saya merasakan bahawa watak Nyonya Mansoor bertindak dalam latar kapasiti perwatakannya yang betul dimana sebagai seorang ibu dan ketua rumah, dia berhak untuk merasa marah kepada Sabariah dan Kassim kerana Ismadi adalah pilihannya yang sudahpun ditunangkan dengan Sabariah selama 4 tahun. Nyonya Mansoor juga merupakan seorang yang boleh diajak berunding kerana masih memberikan ruang kepada Sabariah selama 3 hari untuk membuat pilihan samada hendak memilih Kassim atau Ismadi. Saya menyukai perwatakan Nyonya Mansoor kerana menjadi punca konflik utama untuk filem ini yang berjaya menggerakkan penceritaan ke fasa yang lebih serius dan dramatik dimana akhirnya Sabariah memilih Kassim.

Babak Sabariah Bernikah dengan Kassim Selamat
Babak pernikahan Kassim-Sabariah yang diatur sendiri oleh Nyonya Mansoor merupakan titik plot-twist yang tidak dapat diramalkan dan benar-benar mengejutkan. Babak itu adalah di antara babak terbaik dalam filem ini dimana Nyonya Mansoor sebagai seorang yang berprinsip telah mengumpulkan semua anggota keluarganya sebagai saksi. Dengan pemberian wang RM5000, Sabariah 'dibuang' dari keluarga oleh Nyonya Mansoor dimana Kassim dan Sabariah berpindah dari Singapura ke Pulau Pinang.

Selepas Sabariah dan Kassim Bernikah
Babak-babak kemurungan Ismadi dan kerisauan oleh Nyonya Mansoor sehingga jatuh sakit kerana Ismadi tidak mahu berkahwin selepas itu seolah menyeimbangkan penceritaan bahawa pilihan Sabariah mengahwini Kassim adalah sesuatu yang silap. Keadaan kehidupan Sabariah-Kassim yang semakin daif apabila duit semakin habis seakan-akan balasan yang berkait dengan derhaka anak-ibu. Naratif sebegitu meletakkan penonton dalam dilema samada hendak berpihak kepada Sabariah atau Nyonya Mansoor. Manakala Kassim pula menjadi mangsa tersepit di antara konflik feminisme dan ego di antara kedua-dua watak itu.

Kassim Hilang Harapan
Watak Kassim dilihat sebagai tidak ada harapan. Namun akhirnya dia mengambil keputusan untuk bekerja sebagai buruh kasar di tapak pembinaan kerana dihalang menjadi ahli muzik oleh Sabariah. Tanpa disedari oleh Kassim, Sabariah rupanya masih berutusan surat dengan Nyonya Mansoor di Singapura untuk mengadu. Kesempatan ini digunakan oleh Nyonya Mansoor untuk memanipulasikan keadaan dengan sebaik mungkin. Lantas Sabariah yang mengandung dibawa balik ke Singapura.

Sabariah Bernikah dengan Ismadi
Penceritaan seterusnya menyerlahkan permainan watak Nyonya Mansoor. Sabariah akhirnya dikahwinkan dengan Ismadi setelah ditipu oleh Nyonya Mansoor. Manakala Kassim menjadi mangsa keadaan paling teruk selama 2 tahun di Pulau Pinang sehingga menjadi buta kerana muslihat dari Nyonya Mansoor yang menghantar telegram menyatakan bahawa Sabariah sudah mati.
Dalam satu babak dimana Sabariah bertanya kepada Nyonya Mansoor "Betulkah mak poskan surat-surat itu semua?". Lantas Nyonya Mansoor menjawab "Takkanlah mak nak koyak-koyakkan surat engkau tu nak!". Walaupun tiada sebarang babak exposisi menunjukkan Nyonya Mansoor 'mengoyak' sebarang surat Sabariah, tetapi penonton pasti memang dia dah koyakkan.

Kassim Bertemu dengan Mami dan Chombi
Struktur naratif filem terpecah kepada 2 cerita apabila Kassim dipertemukan dengan keluarga Mami dan Chombi/Kalthom di babak Kassim tertidur di depan pintu pagar rumah mereka. Penceritaan sebegini adalah sesuatu yang menarik kerana penonton tiada sebarang exposition di awal cerita mengenai siapakah watak-watak baru ini? Naratifnya seakan ditambah dimana cerita Kassim dalam perjalanan tanpa tujuan bergabung dengan kisah konflik Chombi yang baru kematian suaminya, Bidin. Kisah ini menenggelamkan sebentar cerita Sabariah-Nyonya Mansor. Kassim memperkenalkan dirinya sebagai Osman Jailani. Kini khalayak mengikuti pula naratif Osman-Chombi yang bergerak sendiri seperti sebuah cerita dalam cerita.

Chombi Murung
Plot kemurungan Chombi walaupun tanpa sebarang flashback (backstory) tetapi masih boleh difahami melalui exposisi secara perbualan di antara Osman-Mami bila mendengar Chombi yang menangis tak henti-henti. Lalu Osman menasihati Chombi untuk berhenti menangis agar tidak menjadi buta sepertinya. Tambahan pula nasib malang kehilangan orang yang tersayang oleh Osman dan Chombi adalah serupa. Perkaitan yang sangat membantu penceritaan!

Saxaphone
Pengenalan watak Berahim, anak jiran Chombi yang bermain saxaphone dan watak Mamak Maidin/Mahyudin Jailani adalah titik plot 'mengembalikan' semula watak Kassim Selamat sebagai Osman Jailani. Montaj dengan poster-poster jelajah Malaya oleh Osman Jailani digunakan untuk mempercepatkan perubahan masa sehinggalah konsertnya di Singapura. Di titik inilah naratif Kassim/Osman dicantum semula dengan kisah Sabariah melalui lagu Jangan Tinggal Daku.

Dr Ismadi Pulihkan Mata Kassim/Osman
Penciptaan watak Dr.Ismadi yang berkarier sebagai seorang doktor sangat berfungsi dengan bagus kerana digunakan untuk membulatkan penceritaan. Ismadi memberikan rawatan percuma untuk memulihkan penglihatan mata Osman/Kassim. Manakala watak Sabariah pula ditukar menjadi Maimunah Ismadi untuk merumitkan lagi plot. Watak Osman/Kassim mungkin keliru dengan pertemuan semula ini kerana menyangkakan bahawa Sabariah memang sudah mati tetapi penonton tahu bahawa Maimunah ialah Sabariah.

Kassim Bertemu Nyonya Masnsoor
Naratif Kassim menemui Nyonya Mansoor di rumah dan tanah perkuburan adalah babak-babak yang ditunggu-tunggu oleh penonton kerana tahu bahawa lambat-laun helah Nyonya Mansoor akan pecah tembelang.

Kenyataan Ismadi
Kenyataan Ismadi kepada Kassim bahawa dosanya mengambil Sabariah sudah terbalas dengan memberikan rawatan mata kepada Kassim ialah titik plot yang mencetuskan tragedi yang menjadi klimak filem ini. Penyudahan filem ini dibuat dalam situasi penceritaan yang gelap paling tragik lengkap dengan ribut taufan dengan kehadiran keluarga Chombi datang mengambil semula Kassim sebagai Osman. Pemilihan naratif penamat itu mungkin menyatakan bahawa " meninggalkan masa lalu pada masa lalu, masa depan di masa depan, dan nikmati masa kini ".

Copyright by nurulathirah's | Powered By Blogger

My Instagram