Hai semua. Seperti yang dijanjikan, sis nak cerita pasal Bukit Bendera. Lama sis tak naik Bukit Bendera. Kali terakhir sis naik tahun 2014 dengan encik tunang (sekarang dah jadi suami). Kali pertama sis naik Bukit Bendera tahun 2013 dengan kawan-kawan satu major dengan sis. Masa tu sem 1 beberapa bulan selepas daftar diri di USM sebagai pelajar baru. Dan tahun ini, kali ketiga sis naik Bukit Bendera. Kali ini dengan kawan-kawan sekolah menengah sis.
Bukit Bendera atau juga dikenali sebagai Penang Hill dalam Bahasa Inggeris terletak di Ayer Hitam, Pulau Pinang iaitu lebih kurang 6km dari bandar Georgetown. Menurut sejarah dahulu, Bukit Bendera juga dahulunya dikenali sebagai Bukit Strawberi kerana ia juga merupakan kawasan pengeluar strawberi (https://ms.wikipedia.org/wiki/Bukit_Bendera). Dahulu, Bukit Bendera dijadikan sebagai kawasan penanaman strawberi oleh penjajah. Tapi hari ini, pengunjung menjadikan Bukit Bendera sebagai tempat untuk menikmati pemandangan bandar Georgetown. Terdapat dua cara untuk naik ke puncak bukit ini. Pertama, menggunakan trek atau laluan pejalan kaki melalui Taman Botanikal Air Terjun dan kedua dengan menaiki kereta api Bukit Bendera. Kalau nak tahu trek-trek atau laluan pejalan kaki Bukit Bendera, bolehlah tengok-tengok peta yang telah ditampal di dinding laluan di mana tempat pengunjung beratur sementara menunggu kereta api tiba.

