Hai semua. Seperti yang dijanjikan, sis nak cerita pasal Bukit Bendera. Lama sis tak naik Bukit Bendera. Kali terakhir sis naik tahun 2014 dengan encik tunang (sekarang dah jadi suami). Kali pertama sis naik Bukit Bendera tahun 2013 dengan kawan-kawan satu major dengan sis. Masa tu sem 1 beberapa bulan selepas daftar diri di USM sebagai pelajar baru. Dan tahun ini, kali ketiga sis naik Bukit Bendera. Kali ini dengan kawan-kawan sekolah menengah sis.
Bukit Bendera atau juga dikenali sebagai Penang Hill dalam Bahasa Inggeris terletak di Ayer Hitam, Pulau Pinang iaitu lebih kurang 6km dari bandar Georgetown. Menurut sejarah dahulu, Bukit Bendera juga dahulunya dikenali sebagai Bukit Strawberi kerana ia juga merupakan kawasan pengeluar strawberi (https://ms.wikipedia.org/wiki/Bukit_Bendera). Dahulu, Bukit Bendera dijadikan sebagai kawasan penanaman strawberi oleh penjajah. Tapi hari ini, pengunjung menjadikan Bukit Bendera sebagai tempat untuk menikmati pemandangan bandar Georgetown. Terdapat dua cara untuk naik ke puncak bukit ini. Pertama, menggunakan trek atau laluan pejalan kaki melalui Taman Botanikal Air Terjun dan kedua dengan menaiki kereta api Bukit Bendera. Kalau nak tahu trek-trek atau laluan pejalan kaki Bukit Bendera, bolehlah tengok-tengok peta yang telah ditampal di dinding laluan di mana tempat pengunjung beratur sementara menunggu kereta api tiba.
Sis dan kawan-kawan bersama Peta Bukit Bendera
Jika dilihat pada peta memang luas kawasan puncak Bukit Bendera. Masa ni sis pergi waktu pagi. Cadangnya nak gerak awal sebab nak tengok suasana matahari terbit bila sampai atas nanti. Tapi maklumlah semua perempuan mestilah semua perkara hendak nampak sempurna (dengan nak padankan warna tudung dengan baju, dengan hendak fikirkan cara memakai tudung lagi) itu semua biasa bagi yang bernama wanita. Itu tak termasuk sesat jalan lagi. Guna waze pun tak membantu sebabnya waze bawa sis ke Taman Botanikal Air Terjun. Mungkin waze nak suruh sis bersenam lebih kerana banyak lemak-lemak sis sudah bekerjasama. Sis sarankan sesiapa yang mahu menggunakan waze dan yang tidak mahu hiking silalah taip 'Kereta Api Bukit Bendera' supaya anda semua tidak buang masa bersiar-siar di Taman Botani.
Alhamdulillah, cuaca pagi tu amat memahami dan mengizinkan sis dan kawan-kawan yang datang dari jauh untuk ke puncak Bukit Bendera. Sis sampai di kaki Bukit Bendera pada pukul 10 pagi. Sis pergi hari Sabtu, jadi memang ramailah pengunjung yang datang. Sampai-sampai sis terus membeli tiket kereta api untuk naik ke puncak. Harga tiket adalah RM10 seorang dan perlu tunjukkan kad pengenalan diri di kaunter tiket.
Tiket Kereta Api Bukit Bendera (RM10/orang)
Salah satu perubahan Bukit Bendera sis datang dahulu dengan sekarang ialah tiket ini. Dulu tiket guna kertas dan kita boleh simpan buat kenangan. Tetapi sekarang tiket guna kad dan kad ini perlu dipulangkan semula ketika hendak keluar. Jadi, hanya gambar sahaja yang boleh untuk simpan sebagai kenangan.
Selepas sis beli tiket, kami pun dibenarkan masuk ke stesyen kereta api. Disebabkan pergi hujung minggu, maka terpaksalah beratur sementara menunggu giliran untuk menaiki kereta api. Sambil-sambil beratur sempatlah berswafoto dahulu. Untuk pengetahuan, kereta api Bukit Bendera akan mengambil penumpang setiap 10 minit sekali. Jika ramai pengunjung pada masa itu, maka sempatlah jika hendak berswafoto sebagai kenang-kenangan. Kereta api ini boleh memuatkan 80 orang penumpang dalam satu masa.
Laluan masuk ke stesyen kereta api
Muka-muka bahagia
Sementara beratur, berswafoto dahulu
1, 2, 3... say cheese
Belakang tu bukan kereta api betul. Hanya gambar hiasan sahaja.
Cuba tengok belakang tu. Ramai kan pengunjung.
Mesti ramai tertanya. Lama ke sis beratur tunggu giliran sampai kereta api tiba? Okey sis jawab. Lama jugaklah. 30 minit sis beratur barulah sampai giliran sis dan kawan-kawan dapat masuk ke dalam kereta api itu. Jika kereta api tiba setiap 10 minit, maka, untuk tiba giliran sis adalah sebanyak 3 kali barulah sis dapat masuk ke dalam kereta api itu.
Yak yak yeay. Sampai sudah kereta api setelah 30 minit menunggu.
Sis masuk awal. Maka dapatlah tempat duduk.
Sis rasa sampai di sini dahulu coretan sis. Sambungan berikutnya sis akan cerita ketika sis dan kawan-kawan berada di puncak Bukit Bendera. Sebenarnya panjang lagi sis nak cerita. Tetapi biarlah yang panjang itu sis cerita di puncak Bukit Bendera. Nanti sis kongsikan gambar-gambar menarik di sis dan kawan-kawan di atas Bukit Bendera. Terima kasih sudi luangkan masa untuk membaca coretan ala-ala 'TRAVELOG' sis ini. 😉 Sudi-sudikanlah baca post sis yang seterusnya ye.
Nota : sis pergi Bukit Bendera pada 28hb Oktober 2017 seminggu sebelum berlakunya tanah runtuh di landasan kereta api Bukit Bendera.