https://www.pinterest.com/pin/469781804854428737/
Watak Kassim Selamat
Seorang
ahli muzik. Bercinta dan berkahwin dengan Sabariah. Memegang watak protagonis.
Watak Sabariah
Anak
tunggal kepada Nyonya Mansoor. Tunang Dr. Ismadi. Bercinta dan berkahwin dengan
Kassim Selamat. Dan berkahwin pula dengan Ismadi. Memegang watak protagonis.
Watak Nyonya Mansoor
Watak
Nyonya Mansoor, ibu Sabariah seorang janda tua yang kaya-raya dan urban seorang
perokok yang memiliki sebuah rumah mewah di tepi laut. Lokasi rumah dan
perwatakan Nyonya Mansoor itu sudahpun memberikan exposisi bahawa dia ialah
seorang yang dominan dan superior kepada sekitarannya. Dalam erti kata lain dia
bakal menjadi penghalang atau antagonis serta malapetaka bagi kedua-duanya.
Babak Kassim Selamat
bertemu Sabariah
Babak-babak
seterusnya 'menemukan' Kassim dan Sabariah. Panggilan telefon oleh Sabariah
kepada Kassim yang mengatur blind-date di Capitol Blue Room pada pukul 10 malam
menyerlahkan monotoni watak keduanya kerana saling tidak mempercayai sesama
sendiri. Lantas mereka menghantar wakil masing-masing yang memakai pakaian
seperti yang telah dijanjikan dalam perbualan di telefon sebagai penyamaran
diri untuk mengintai dahulu fizikal masing-masing. Babak blind-date itu boleh diterimapakai
untuk zaman dahulu kerana mungkin penyanyi sepopular Kassim Selamat tidak
pernah keluar gambarnya di mana-mana media cetak atau elektronik? Kerana itulah
Sabariah tidak mengenali wajah Kassim.
Plot-point
'tidak kenal wajah Kassim Selamat' itu memudahkan naratif seterusnya di Capitol
Blue Room dipanjangkan untuk menghasilkan babak pertemuan watak Kassim dan
Sabariah yang seronok untuk ditonton. Mereka duduk di meja bersebelahan dengan
memakai baju yang lain dari seperti yang 'dijanjikan' di telefon sementara
menunggu 'Kassim palsu' iaitu Husin dan 'Sabariah palsu' iaitu Salbiah sambil
kedua-duanya saling mencuri pandang. Voice-over dalam hati masing-masing yang
terpikat sesama sendiri diadun dengan baik untuk bercerita kepada penonton.
Babak pembongkaran rahsia identiti masing-masing di taman bunga seterusnya
masih dalam situasi komedi dengan muzik latar yang begitu sinonim dengan babak
kelakar filem Melayu dahulu.
Babak Sabariah dan Dr.
Ismadi
Naratif
filem ini semakin menarik apabila watak Hayati dengan adiknya Dr. Ismadi iaitu
tunang Sabariah datang melawat Nyonya Mansoor. Jelas sekali bahawa Ismadi dan
Sabariah merupakan pasangan yang paling secocok dan setanding berdasarkan taraf
kedudukan sosial mereka. Sejujurnya, saya merasakan bahawa watak Nyonya Mansoor
bertindak dalam latar kapasiti perwatakannya yang betul dimana sebagai seorang
ibu dan ketua rumah, dia berhak untuk merasa marah kepada Sabariah dan Kassim
kerana Ismadi adalah pilihannya yang sudahpun ditunangkan dengan Sabariah
selama 4 tahun. Nyonya Mansoor juga merupakan seorang yang boleh diajak
berunding kerana masih memberikan ruang kepada Sabariah selama 3 hari untuk
membuat pilihan samada hendak memilih Kassim atau Ismadi. Saya menyukai
perwatakan Nyonya Mansoor kerana menjadi punca konflik utama untuk filem ini
yang berjaya menggerakkan penceritaan ke fasa yang lebih serius dan dramatik
dimana akhirnya Sabariah memilih Kassim.
Babak Sabariah Bernikah
dengan Kassim Selamat
Babak
pernikahan Kassim-Sabariah yang diatur sendiri oleh Nyonya Mansoor merupakan
titik plot-twist yang tidak dapat diramalkan dan benar-benar mengejutkan. Babak
itu adalah di antara babak terbaik dalam filem ini dimana Nyonya Mansoor
sebagai seorang yang berprinsip telah mengumpulkan semua anggota keluarganya sebagai
saksi. Dengan pemberian wang RM5000, Sabariah 'dibuang' dari keluarga oleh
Nyonya Mansoor dimana Kassim dan Sabariah berpindah dari Singapura ke Pulau
Pinang.
Selepas Sabariah dan
Kassim Bernikah
Babak-babak
kemurungan Ismadi dan kerisauan oleh Nyonya Mansoor sehingga jatuh sakit kerana
Ismadi tidak mahu berkahwin selepas itu seolah menyeimbangkan penceritaan
bahawa pilihan Sabariah mengahwini Kassim adalah sesuatu yang silap. Keadaan
kehidupan Sabariah-Kassim yang semakin daif apabila duit semakin habis
seakan-akan balasan yang berkait dengan derhaka anak-ibu. Naratif sebegitu
meletakkan penonton dalam dilema samada hendak berpihak kepada Sabariah atau
Nyonya Mansoor. Manakala Kassim pula menjadi mangsa tersepit di antara konflik
feminisme dan ego di antara kedua-dua watak itu.
Kassim Hilang Harapan
Watak
Kassim dilihat sebagai tidak ada harapan. Namun akhirnya dia mengambil
keputusan untuk bekerja sebagai buruh kasar di tapak pembinaan kerana dihalang
menjadi ahli muzik oleh Sabariah. Tanpa disedari oleh Kassim, Sabariah rupanya
masih berutusan surat dengan Nyonya Mansoor di Singapura untuk mengadu.
Kesempatan ini digunakan oleh Nyonya Mansoor untuk memanipulasikan keadaan
dengan sebaik mungkin. Lantas Sabariah yang mengandung dibawa balik ke
Singapura.
Sabariah Bernikah dengan
Ismadi
Penceritaan
seterusnya menyerlahkan permainan watak Nyonya Mansoor. Sabariah akhirnya
dikahwinkan dengan Ismadi setelah ditipu oleh Nyonya Mansoor. Manakala Kassim
menjadi mangsa keadaan paling teruk selama 2 tahun di Pulau Pinang sehingga
menjadi buta kerana muslihat dari Nyonya Mansoor yang menghantar telegram
menyatakan bahawa Sabariah sudah mati.
Dalam
satu babak dimana Sabariah bertanya kepada Nyonya Mansoor "Betulkah mak
poskan surat-surat itu semua?". Lantas Nyonya Mansoor menjawab
"Takkanlah mak nak koyak-koyakkan surat engkau tu nak!". Walaupun tiada
sebarang babak exposisi menunjukkan Nyonya Mansoor 'mengoyak' sebarang surat
Sabariah, tetapi penonton pasti memang dia dah koyakkan.
Kassim Bertemu dengan
Mami dan Chombi
Struktur
naratif filem terpecah kepada 2 cerita apabila Kassim dipertemukan dengan
keluarga Mami dan Chombi/Kalthom di babak Kassim tertidur di depan pintu pagar
rumah mereka. Penceritaan sebegini adalah sesuatu yang menarik kerana penonton
tiada sebarang exposition di awal cerita mengenai siapakah watak-watak baru
ini? Naratifnya seakan ditambah dimana cerita Kassim dalam perjalanan tanpa
tujuan bergabung dengan kisah konflik Chombi yang baru kematian suaminya,
Bidin. Kisah ini menenggelamkan sebentar cerita Sabariah-Nyonya Mansor. Kassim
memperkenalkan dirinya sebagai Osman Jailani. Kini khalayak mengikuti pula
naratif Osman-Chombi yang bergerak sendiri seperti sebuah cerita dalam cerita.
Chombi Murung
Plot
kemurungan Chombi walaupun tanpa sebarang flashback (backstory) tetapi masih boleh
difahami melalui exposisi secara perbualan di antara Osman-Mami bila mendengar
Chombi yang menangis tak henti-henti. Lalu Osman menasihati Chombi untuk
berhenti menangis agar tidak menjadi buta sepertinya. Tambahan pula nasib
malang kehilangan orang yang tersayang oleh Osman dan Chombi adalah serupa.
Perkaitan yang sangat membantu penceritaan!
Saxaphone
Pengenalan
watak Berahim, anak jiran Chombi yang bermain saxaphone dan watak Mamak
Maidin/Mahyudin Jailani adalah titik plot 'mengembalikan' semula watak Kassim
Selamat sebagai Osman Jailani. Montaj dengan poster-poster jelajah Malaya oleh
Osman Jailani digunakan untuk mempercepatkan perubahan masa sehinggalah
konsertnya di Singapura. Di titik inilah naratif Kassim/Osman dicantum semula
dengan kisah Sabariah melalui lagu Jangan Tinggal Daku.
Dr Ismadi Pulihkan Mata
Kassim/Osman
Penciptaan
watak Dr.Ismadi yang berkarier sebagai seorang doktor sangat berfungsi dengan
bagus kerana digunakan untuk membulatkan penceritaan. Ismadi memberikan rawatan
percuma untuk memulihkan penglihatan mata Osman/Kassim. Manakala watak Sabariah
pula ditukar menjadi Maimunah Ismadi untuk merumitkan lagi plot. Watak
Osman/Kassim mungkin keliru dengan pertemuan semula ini kerana menyangkakan
bahawa Sabariah memang sudah mati tetapi penonton tahu bahawa Maimunah ialah
Sabariah.
Kassim Bertemu Nyonya
Masnsoor
Naratif
Kassim menemui Nyonya Mansoor di rumah dan tanah perkuburan adalah babak-babak
yang ditunggu-tunggu oleh penonton kerana tahu bahawa lambat-laun helah Nyonya
Mansoor akan pecah tembelang.
Kenyataan Ismadi
Kenyataan
Ismadi kepada Kassim bahawa dosanya mengambil Sabariah sudah terbalas dengan
memberikan rawatan mata kepada Kassim ialah titik plot yang mencetuskan tragedi
yang menjadi klimak filem ini. Penyudahan filem ini dibuat dalam situasi
penceritaan yang gelap paling tragik lengkap dengan ribut taufan dengan
kehadiran keluarga Chombi datang mengambil semula Kassim sebagai Osman.
Pemilihan naratif penamat itu mungkin menyatakan bahawa " meninggalkan
masa lalu pada masa lalu, masa depan di masa depan, dan nikmati masa kini
".